KANGAR: Tiga lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 190.9 kilogram di Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis,13 Mei lalu.
Tertuduh tersebut adalah Shamil Saaddin, 37, Muhamad Shahrul Nizam Shafii, 26, dan Marhafiz Maidinsha, 28.
Mengikut kertas pertuduha,n mereka didakwa mengedar 190.9 kilogram ganja di sebuah pelantar di Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis kira-kira pukul 4 petang, 13 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying sementara ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 Julai ini untuk serahan laporan kimia.
Pada 18 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis negeri melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang aktif melakukan aktiviti penyeludupan barangan terlarang itu sejak awal tahun ini apabila merampas ganja seberat 190.9 kilogram dengan nilai RM477,250 di dalam sebuah bot fiber nelayan di Kuala Perlis, pada pagi Aidilfitri lepas.
Rentetan itu, polis menahan enam individu termasuk pasangan kekasih di sekitar Kuala Perlis, Simpang Empat, Arau dan Langkawi, Kedah pada Sabtu dan Ahad lalu.
Penemuan bot di sebuah jeti haram di Kuala Perlis pada awal pagi Khamis lalu itu membawa kepada penangkapan lelaki berusia 40 tahun yang merupakan dalang sindiket bersama teman wanitanya berusia 20 tahun. – UTUSAN ONLINE