Tiada SJR tambahan di Perlis, boleh bergerak melebihi 10 kilometer

Tiada SJR tambahan di Perlis, boleh bergerak melebihi 10 kilometer

ANGGOTA Rela membantu melakukan pemeriksaan kenderaan keluar masuk ke Perlis di SJR Sanglang, Perlis hari ini. - FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sekatan jalan raya (SJR) tidak akan ditambah di negeri ini dengan penduduk boleh bergerak melebihi jarak 10 kilometer ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula esok hingga 7 Jun depan.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, hal demikian kerana Perlis adalah negeri yang kecil dan tidak mempunyai daerah seperti negeri-negeri lain.

“Tak ada SJR tambahan kerana SJR ini ikut daerah pentadbiran negeri dan bukannya daerah polis. Negeri ini pula tiada daerah.

“Jadi, kalau yang tinggal di Kangar dan mahu buat perjalanan ke Padang Besar pun tidak ada masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan melaksanakan PKP di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Pelaksanaan PKP itu diumumkan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19.

Menurut Muhyiddin, PKP tersebut meliputi kepada larangan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sambutan Hari Raya Aidilfitri Khamis ini, Surina berkata, pihaknya masih menunggu pengumuman selanjutnya daripada MKN.

“Maklumat yang diberitahu semalam agak umum seperti tak boleh ziarah rumah ke rumah dan tak boleh ziarah kubur. Mungkin akan ada pengumuman yang lebih terperinci pada hari ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Surina berkata, pihaknya sudah bersedia dengan pasukan pematuhan yang ditingkatkan kepada 100 pasukan berbanding 85 sebelum ini yang akan pergi membuat pemantauan di kawasan perumahan dan penduduk bagi memastikan SOP dijaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya