SEREMBAN: Tiada sebarang keistimewaan mahupun perbezaan diberikan kepada selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd. Nor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail dalam siasatan kes pasangan itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke Nilai di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, siasatan melibatkan kedua-duanya akan berjalan seperti biasa mengikut perundangan yang ada.
“Siasatan oleh pihak polis adalah sama, tidak ada bezanya di antara selebriti, orang awam biasa atau orang kampung, tiada beza, semua darah merah, tiada bezanya.
“Siasatan juga masih belum selesai, tunggu siasatan lanjut, hasilnya akan dibawa kepada pegawai pendakwa raya negeri untuk dapatkan arahan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Bubur Lambuk Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis (Respa) Negeri Sembilan Kepada ‘Frontliner’ PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Respa Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.
Sementara itu, Che Zakaria mengesahkann Neelofa dan Muhammad Haris telah dipanggil petang ini untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
“Neelofa tu telah pun dipanggil petang ini oleh Ketua Polis Daerah Nilai dan akan diambil keterangan lebih lanjut untuk mengetahui adakah mereka suami isteri mendapat kebenaran rentas daerah dan negeri.
“Selepas selesai siasatan kita akan angkat hasil siasatan ini kepada pegawai pendakwa raya negeri untuk mendapatkan arahan lanjut. Pemilik kedai permaidani telah dipanggil dan juga pekerjanya juga telah dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya. – UTUSAN