THiJARI: Buka akaun Tabung Haji dalam 1 minit - Utusan Malaysia

THiJARI: Buka akaun Tabung Haji dalam 1 minit

MUSTAKIM MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak lagi perlu beratur dan menunggu giliran untuk membuka akaun Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berikutan badan berkanun itu memperkenalkan kemudahan perkhidmatan dalam talian menerusi platform Pembukaan Akaun Secara Maya (VAO).

Menerusi platform itu, pengguna boleh membuka akaun sendiri secara dalam talian dan hanya perlu hadir ke kaunter Tabung Haji yang terdekat bagi proses pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.

Inisiatif ini sekaligus memudahkan urusan pembukaan akaun baru dan masa untuk membuka akaun disingkatkan dari 15 minit ke satu minit serta pendeposit akan diberi keutamaan di cawangan Tabung Haji kerana telah melengkapkan permohonan terlebih dahulu.

Pengarah Eksekutif Operasinya, Mustakim Mohamad memaklumkan, pengguna yang mahu mendaftar boleh mengakses platform VAO menerusi aplikasi THiJARI ataupun melalui laman web.

“VAO bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk membuka akaun Tabung Haji dengan lebih mudah dari mana sahaja mereka berada sama ada melalui laman web atau aplikasi mudah alih, THiJARI.

“Bakal pendeposit perlu memenuhi syarat-syarat pembukaan akaun dan hanya perlu membawa MyKad dan amaun deposit permulaan. Selain itu, pendeposit yang mempunyai anak kandung di bawah umur 18 tahun juga boleh membuka akaun kanak-kanak menerusi THiJARI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Tabung Haji menyaran agar para pendepositnya terus meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sejak THiJARI diperkenalkan pada Februari 2020, platform tersebut berjaya menarik lebih 800,000 pengguna THiJARI Web dan 400,000 pengguna THiJARI App.

“THiJARI adalah perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan pada awal tahun lalu bagi memudahkan para pendeposit untuk melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan Tabung Haji secara dalam talian.

“Tabung Haji terus komited menambah baik mutu dan capaian perkhidmatan kami bagi keselesaan para pendeposit. Selain mewujudkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh, mudah, dan fleksibel. Tabung Haji juga sentiasa peka terhadap keperluan semasa seiring dengan perkembangan digital,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya