PETALING JAYA: Malaysia dapat meneroka lebih banyak peluang dan merealisasikan nilai yang lebih besar untuk negara dengan jika dapat menyusun dasar dan kaedah perniagaan yang lebih mengutamakan alam sekitar serta pembangunan mampan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha itu termasuk menyelarikan cara perniagaan dijalankan di Malaysia untuk memenuhi keperluan rakan dagang dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Perjanjian Paris.
Kata beliau, lebih baik jika perniagaan dalam negara dapat mengamalkan agenda hijau dengan mengamalkan pendekatan ekonomi berkeliling serta amalan penggunaan dan pengeluaran mampan (SCP) di sepanjang rantaian nilai
“Ini akan selanjutnya menghasilkan keuntungan dan pengganda ekonomi untuk sektor bersebelahan, melonjakkan kemasukan modal dan pelaburan buat negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya untuk Webinar Cita-Cita Iklim dan Kemampanan Rakan Dagang yang diadakan secara maya semalam.
Menurut Mustapa, dunia kini sedang melalui fasa peralihan tenaga ke arah sumber yang lebih bersih, hijau dan mampan.
Kata beliau, Kebanyakan rakan dagang Malaysia sedang berusaha ke arah impian iklim sifar bersih seperti Kesatuan Eropah (EU) yang mahu memastikan pembuat barangan import membayar kos pelepasan yang sama dengan syarikat Eropah, sementara cukai sempadan karbon akan mengenakan denda kepada import dari negara yang ketinggalan dalam menangani perubahan iklim.
“Sehubungan itu, syarikat Malaysia perlu memandang ke hadapan dan membangunkan strategi hijau agresif untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan penggunaan sumber.
“Mitigasi perubahan iklim dan pencegahan pencemaran menjadi semakin penting apabila perniagaan terus berusaha mendapatkan lesen sosial untuk beroperasi,” katanya.
Jelas beliau, banyak industri di dunia kini menumpukan perhatian untuk menjadi lebih mesra alam sekitar dan cekap sumber.
“Mereka semakin komited ke arah matlamat alam sekitar, sosial dan pentadbiran (ESG), sejajar dengan masa hadapan yang lebih mampan,” katanya.
Dalam ucapan tersebut, Mustapa turut mendedahkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Dasar Tenaga Kebangsaan selepas ini yang akan memandu perancangan dan pembangunan sektor tenaga negara. – UTUSAN ONLINE