Terima keputusan sekiranya Pulau Pinang perlu PKP

Terima keputusan sekiranya Pulau Pinang perlu PKP

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Semua pihak di negeri ini diseru menerima keputusan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat diperkenalkan kerajaan dalam masa terdekat. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu diambil sekiranya perlu bertujuan mengawal penularan Covid-19 dan mengelak situasi pandemik itu menjadi lebih buruk. 

Dalam masa sama ujar beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat kerajaan Pusat berhubung perkara tersebut. 

“Kita perlu mematuhi keputusan yang dibuat sekiranya prosedur standard operasi (SOP) Covid-19 diperketatkan dan akan ikut pelaksanaan serta keputusan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau ditanya mengenai sama ada Pulau Pinang bersedia sekiranya PKP dilaksanakan sekali lagi di negeri dalam masa terdekat berikutan peningkatan kes positif Covid-19 ketika ini.

Selain Pulau Pinang, Kementerian Kesihatan sebelum ini mengemukakan cadangan supaya PKP dilaksanakan di enam buah negeri termasuk di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Sarawak. 

Mengulas mengenai situasi semasa Covid-19 di negeri ini, Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan negeri telah mengemukakan hasil penilaian risiko dan membuat rumusan kepada Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu. 

Jelas beliau, perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negeri (MKN) hari ini sebelum hala tuju mengenai pelaksanaan PKP atau sebaliknya di negeri ini ditentukan. 

“Kita percaya penilaian risiko dan rumusan oleh JKN itu akan dipertimbangkan oleh MKN pada mesyuarat petang ini termasuk bagaimana PKP yang mahu dikuatkuasakan di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN