Syor lantik Ketua Pesuruhjaya SPRM bawah Perlembagaan - Utusan Malaysia

Syor lantik Ketua Pesuruhjaya SPRM bawah Perlembagaan

SHAMSUN Baharin Mohd. Jamil (berdiri kanan) beramah mesra dengan pengamal media pada dalam program strategik bersama media di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR) masih tergantung dan belum diluluskan Parlimen.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd. Jamil berkata, kedua-dua cadangan itu penting bagi memperkasa dan menjamin kebebasan suruhanjaya berkenaan.

Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dilantik di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagaimana pelantikan Ketua Audit Negara, Ketua Hakim dan Peguam Negara.

Ketika ini, KP SPRM dilantik  oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri yang terkandung di bawah Seksyen 5 Akta SPRM 2009.

Menurut beliau, perkara tersebut adalah peruntukan baharu dan memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan dua pertiga ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan itu dilaksanakan.

“Ketika ini juga, SPRM sedang merangka untuk mengesyorkan peruntukan undang-undang baharu yang lebih khusus dalam menangani isu ketirisan dan salah laku seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) setiap tahun.

“Ini kerana SPRM hanya menyiasat sekiranya dikesan ada unsur penyelewengan serta salah laku rasuah. Namun, bagaimana dengan tindakan terhadap isu salah laku lain yang dilaporkan LKAN dan adakah ia hanya dibiarkan dengan syor atau teguran sahaja?” katanya ketika berucap pada program strategik bersama media di sini semalam.

Shamsun Baharin berkata, akta seumpamanya sudah dilaksanakan di negara-negara lain seperti Brunei dan Hong Kong.

Maka, katanya, adalah penting Malaysia mempunyai peruntukan sama kerana laporan audit sentiasa diterbitkan dan mendedahkan banyak berlaku ketirisan serta kerugian besar.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama media untuk memberi kefahaman tentang kedudukan SPRM sebagai agensi yang dipantau oleh lima panel bebas.

“Peranan kuasa mendakwa juga perlu sering diingatkan kembali di media arus perdana agar ia tidak dipertikai atau diputar belit oleh mereka yang tidak jelas mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau pada masa sama berterima kasih kepada pihak media kerana atas liputan, laporan dan artikel berkaitan SPRM dan pencegahan rasuah yang meluas selama ini.

Beliau memberitahu, berdasarkan laporan syarikat pemantauan media terhadap SPRM, sebanyak 32,132 artikel dan laporan berkaitan suruhanjaya itu dan isu rasuah disiarkan menerusi empat medium utama iaitu media cetak, televisyen, radio dan portal berita sepanjang tahun lalu.

Namun, katanya, di sebalik liputan meluas itu, masyarakat perlu tahu apakah cabaran dan hala tuju SPRM dalam menangani rasuah secara berkesan, sama ada menerusi sudut pengoperasian, pencegahan mahu pun pendidikan masyarakat.

Oleh itu, kata beliau, setiap peranan SPRM perlu diperjelaskan lagi kepada umum secara berterusan supaya tahap keyakinan masyarakat  lebih meningkat.

“Menerusi kajian Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dilakukan SPRM, mendapati tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun iaitu pada 2018 (72.5 peratus), 2019 (74.3 peratus) dan 2020 (77.7 peratus).

“Selain itu, tahap kesanggupan, kesediaan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama SPRM juga meningkat setiap tahun sejak 2018,” katanya.

Menurut beliau, tahap kesanggupan masyarakat pada 2018 merekodkan pada kadar 82 peratus, 2019 (82.7 peratus) dan 2020 (86.3 peratus), manakala bagi tahap kesediaan masyarakat pada 2018 (81.1 peratus), 2019 (82.1 peratus) dan 2020 (85.6 peratus).

Bagi tahap kerjasama masyarakat bersama SPRM pula, ujarnya merekodkan sebanyak 81 peratus (2018) diikuti 81.8 peratus pada 2019 dan 84.6 peratus pada tahun lepas (2020). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya