Syor hanya tingkatan 4 dan 5 ke sekolah sepanjang PdPR

Syor hanya tingkatan 4, 5 ke sekolah

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan wajar mempertimbang membenarkan pe­lajar tingkatan empat dan lima yang bakal menduduki peperik­saan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke sekolah jika sesi pe­ngajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilanjutkan sehingga Ogos ini.

Bagaimanapun, bagi murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga tiga, mereka boleh terus mengikuti proses PdPR sehingga Ogos atau hujung tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, langkah tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah pelajar yang ramai di sesebuah sekolah dengan tum­puan pembelajaran bersemuka itu hanya difokuskan kepada pe­lajar yang bakal menduduki pe­periksaan penting seperti SPM.

Beliau yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS) berkata, pihak sekolah mungkin boleh mengehadkan kehadiran pelajar tingkatan lima ini ke sekolah iaitu dua kali dalam seminggu dan selebihnya melalui proses PdPR.

“Namun seandainya penula­ran Covid-19 semakin merun­cing, nampaknya kerajaan perlu mencari kaedah terbaik pembe­lajaran secara dalam talian untuk para pelajar SPM ini.

“Kita tidak mahu fokus pelajar yang menduduki peperiksaan SPM ini terjejas jika ada dalam kalangan mereka masih tidak boleh mengikuti proses PdPR ini khususnya di kawasan-kawasan luar bandar,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 4,799,814 pelajar di seluruh negara dijangka meneruskan sesi PdPR sehingga Ogos ini bagi mengurangkan risiko Covid-19 yang setakat Khamis merekodkan jangkitan tertinggi iaitu seba­nyak 7,857 kes.

Sesi PdPR dijadual berakhir pertengahan bulan depan namun kerajaan tiada pilihan selain meneruskan pelaksanaan­nya jika kes positif Covid-19 te­rus membimbangkan dan semakin meningkat.

Sekiranya dilanjutkan, Kementerian Pendidikan perlu me­nyelesaikan isu-isu berbangkit dalam pelaksanaan PdPR bagi memastikan keberkesanan­nya yang menggantikan sesi bersemuka.

Para pelajar mengikuti PdPR bermula dari 16 Mei hingga 27 Mei membabitkan sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 Mei hingga 28 Mei (Kumpulan B).

Mereka seterusnya bercuti penggal dari 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).

Sementara itu, Kamarul Az­man berkata, kerajaan juga perlu mengambil beberapa langkah dalam memudahkan para pelajar mengikuti PdPR antaranya dengan mempercepat dan menambah pemberian komputer riba selain mewujudkan pakej internet percuma untuk tujuan pembelajaran dalam talian itu.

Katanya, proses PdPR adalah salah satu sistem pembelajaran yang cukup baik dan berkesan, malah di negara-negara luar pendekatan seperti itu sudah lama diamalkan sebelum tercetusnya pandemik Covid-19 lagi.

“Lagipun, proses PdPR ini dilihat semakin boleh diterima oleh para pelajar dan guru-guru. Mahu tidak mahu kita perlu membiasakan diri dengan suasana baharu ini,” katanya.
Katanya lagi, para guru perlu lebih kreatif dan berinovasi dalam usaha menarik minat pelajar mengikuti PdPR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya