KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibenar mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuannya agar Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didaftarkan sebagai sebuah parti politik.
Turut mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar tindakan tersebut ialah 12 individu lain selaku pemohon selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan itu.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan tersebut semasa pendengaran permohonan secara dalam talian hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly memberitahu pihak media, AGC tidak membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman dan mahkamah menetapkan 8 Jun ini bagi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli.
AGC turut diwakili oleh Peguam Persekutuan, M. Kogilambigai manakala peguam Lim Wei Jiet mewakili semua pemohon.
Sementara itu, Wei Jiet turut memberitahu media bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin masih belum membuat keputusan berhubung rayuan mereka untuk mendaftarkan parti berkenaan.
Ujar peguam itu, keputusan rayuan masih belum dibuat walaupun sudah 110 hari sejak rayuan dikemukakan pada 4 Februari lalu.
Pada 26 April lalu, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus agar responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan tersebut.
Mereka mengemukakan rayuan pada 4 Februari lalu terhadap keputusan RoS pada 6 Januari lalu yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik.
Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September tahun lalu oleh Syed Saddiq yang merupakan bekas Ketua Armada Bersatu, namun ditolak RoS.
Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah. – UTUSAN ONLINE