Sultan Johor benarkan solat tarawih, Aidilfitri di kawasan PKP

Sultan Johor benarkan solat tarawih, Aidilfitri di kawasan PKP

TOSRIN JARVANTHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat tarawih diteruskan dan solat Aidilfitri diadakan bagi daerah yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu daerah ini, Kota Tinggi dan Kulai. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, pelaksanaan solat tarawih dan solat Aidilfitri mengikut syarat tidak melebihi satu pertiga kapasiti ruang solat masjid dan surau serta mematuhi penjarakan fizikal satu meter. 

Katanya, syarat yang sama turut dikenakan bagi pelaksanaan solat Jumaat di masjid dan surau serta solat fardu lima waktu secara berjemaah.

“Bagi daerah yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan solat tarawih adalah dibenarkan menggunakan semua ruang solat masjid dan surau dengan dengan syarat mematuhi penjarakan fizikal satu meter. 

“Pelaksanaan solat Aidilfitri juga adalah dibenarkan menggunakan semua ruang solat masjid dan surau dengan dengan syarat yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tosrin memberitahu, bagi daerah yang berada di bawah arahan PKP, kegiatan menziarahi tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan manakala daerah terikat PKPB hanya dibenarkan selepas hari raya ketiga.

“Kebenaran ini berkuat kuasa mulai esok (7 Mei) sehingga ada ketetapan lain yang ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Mana-mana masjid atau surau yang dikesan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa atau jemaahnya hendaklah ditutup serta-merta mengikut tempoh yang ditentukan oleh Pegawai Kesihatan Daerah,” tegasnya. 

Mengulas lanjut, sepanjang tempoh PKP dan PKPB, kebenaran bagi pelaksanaan solat sunat tarawih 20 rakaat diikuti tiga rakaat solat sunat witir hanya kepada warganegara dan penduduk tetap sahaja dalam kalangan jemaah lelaki dewasa serta kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dan ke atas.

“Semua majlis berbuka puasa, majlis jamuan, majlis penyampaian bantuan, kegiatan masak memasak dan agihan bubur lambuk di dalam kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Pelaksanaan solat sunat hajat dilaksanakan di masjid dan surau selepas solat Magrib dan solat Jumaat. Program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam bagaimanapun kuliah sebelum atau selepas tarawih tidak dibenarkan,” katanya. 

Tambah Tosrin, program Tadarus al-Quran dibenarkan tidak melebihi satu jam selepas selesai solat sunat witir atau waktu yang telah diprogramkan oleh masjid dan surau dengan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi selain Majlis Khatam Al-Quran juga dibenarkan dalam tempoh satu jam 30 minit selepas solat Zohor hingga Asar.

“Majlis Qiamullail hendaklah dalam tempoh 2 jam sebelum masuk waktu Subuh namun aktiviti tidur bermalam di masjid atau surau tidak dibenarkan. Pematuhan semua SOP hendaklah diperketatkan melalui kawalan ahli jawatan kuasa masjid dengan bantuan RELA,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN