ROMPIN: Menanti rebah! Begitulah keadaan terkini jambatan gantung Sungai Rekoh, lokasi di mana dua kanak-kanak berusia tiga tahun dan tujuh tahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila motosikal dinaiki bersama ibu mereka terbalik ketika melalui laluan itu pada 28 April lalu.
Jambatan gantung Kampung Rekoh adalah laluan alternatif menghubungkan penduduk Kampung Rekoh Baru dengan Kampung Rekoh termasuk Kampung Orang Asli Kasai dan kawasan sekitarnya.
Di kawasan bersebelahan Kampung Rekoh adalah punca rezeki penduduk di Kampung Rekoh Baru yang bekerja dalam sektor perladangan sawit di situ.
Di sebelah kawasan Kampung Rekoh Baru dan Keratong pula, ia menempatkan kemudahan asas seperti sekolah, masjid dan klinik kesihatan.
Keadaan jambatan yang dibina pada 2006 itu semakin melendut menyembah sungai setelah satu tiang utamanya senget kerana berlaku mendapan tanah ekoran banjir yang setiap tahun berlaku di situ.
Selain itu, pagar dawai jambatan itu juga semakin usang dengan terdapat bahagian yang terkoyak termasuk di kawasan dua adik-beradik berkenaan terjatuh ke dalam sungai tersebut.
Tragedi terbaru itu merisaukan penduduk tentang keselamatan mereka selepas ini kerana ia merupakan laluan utama penduduk kampung itu pergi bekerja dan juga menghantar anak ke sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Rekoh Baru, Said Ibrahim, 54, berkata, insiden di jambatan gantung itu bukan pertama kali tetapi lebih 15 kejadian berlaku.
“Pernah berlaku di jambatan ini seorang lelaki berusia 56 tahun jatuh ketika menunggang motosikal waktu pergi bekerja menyebabkannya patah kaki. Banyak kes, pasangan suami isteri dan wanita yang sedang membawa tong gas pun pernah terjatuh.
“Cuma mereka hanya jatuh atas jambatan akibat lantai licin dan keadaan jambatan yang bergoyang, tiada insiden sebelum ini penduduk jatuh ke dalam sungai seperti terjadi kepada dua kanak-kanak malang berkenaan,” katanya di sini semalam.
Dalam kejadian pada 28 April lalu, dua adik-beradik terbabit terjatuh ke dalam Sungai Rekoh selepas motosikal ditunggang ibunya terbalik ketika melalui jambatan gantung di lokasi berkenaan.
Kedua-dua mereka, iaitu Dhenis Maulida Putri Masari, 7, dan Putri Rama Dhania Azahra, 3, ditemukan pada 30 April lalu di dua lokasi berasingan hari ini pada jarak 100 meter dan 50 meter dari lokasi kejadian.
Said berkata, jambatan gantung itu adalah yang keempat dibina di situ setelah tiga daripadanya iaitu dua jambatan kayu dan sebuah jambatan gantung mengalami kerosakan disebabkan banjir. – UTUSAN