ALOR SETAR: Solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan hanya 50 jemaah bagi masjid dan surau di negeri ini yang mempunyai kapasiti lebih 1,000 orang sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd. Yusri Md. Daud berkata, masjid dan surau yang mempunyai kapasiti kurang 1,000 jemaah pula hanya 20 orang dibenarkan.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang sama diguna pakai untuk solat Jumaat dan fardhu berjemaah.
“Masjid dan surau hanya dibuka sejam sebelum solat fardhu berjemaah dan sejam 30 minit sebelum solat Jumaat dan Aidilfitri seterusnya ditutup selepas sempurna solat berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, jemaah kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan selain yang bergejala jangkitan Covid-19.
“Program keagamaan lain dan majlis ilmu tidak dibenarkan sepanjang PKP 3.0 begitu juga aktiviti sosial serta kemasyarakatan,” jelas beliau.
Katanya, hanya pengurusan jenazah bukan kematian akibat Covid-19 dibenarkan dengan solat jenazah terhad kepada ahli jawatankuasa masjid dan anggota keluarga sahaja.
“Arahan ini berkuat kuasa bermula 12 Mei sehingga PKP 3.0 ditamatkan secara rasmi oleh kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN