SKMM kecewa Facebook, Twitter lambat bertindak terhadap akaun palsu - Utusan Malaysia

SKMM kecewa Facebook, Twitter lambat bertindak terhadap akaun palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meluahkan rasa kecewa dengan sikap penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram kerana tidak bertindak pantas terhadap laporan yang dikemukakan dalam menangani isu akaun-akaun palsu.

Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, pihaknya bimbang kelewatan untuk bertindak merencatkan usaha melindungi pengguna media sosial daripada akaun-akaun palsu.

Katanya, ini terutamanya yang menyamar dan menyalahgunakan identiti individu dan entiti lain sekali gus boleh menyebabkan kerugian wang ringgit kepada pengguna.

“Memandangkan platform-platform sedemikian yang tidak dilesenkan kerana beroperasi di luar Malaysia, SKMM amat bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak penyedia platform.

“Justeru, SKMM menggesa pihak penyedia platform untuk lebih bertanggungjawab,
responsif dan bertindak pantas terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh suruhanjaya,” katanya.

Pada masa sama, SKMM menganggap pihak penyedia platform mempunyai tanggungjawab bagi memastikan platform yang dihoskan pihak mereka adalah selamat kepada pengguna.

Katanya lagi, tindakan pantas yang diambil adalah penting dan perlu demi melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna.

“Pihak SKMM sekali lagi ingin menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan Internet berhemah.

“Elakkan daripada menjadi mangsa kepada akaun-akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya