SHAH ALAM: Satu sindiket dadah yang menjadikan kawasan parkir utama sebagai lokasi pengedaran tumpas selepas tertangkapnya seorang lelaki yang bertindak sebagai dalang Jumaat lalu.
Dalam penahanan suspek berusia 27 tahun itu, polis turut menemukan dadah pelbagai jenis bernilai RM7.07 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan awal dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di kawasan parkir kereta di sebuah pasar raya di Ampang, dekat sini kira-kira pukul 3 petang.
Menurut beliau, pemeriksaan dalam kereta jenis Mazda yang dinaiki suspek telah menemukan beg plastik berisi dadah pelbagai jenis antaranya pil ekstasi dan ketamin bernilai RM545,200.
“Susulan penahanan ini, suspek telah membawa kepada sebuah rumah teres dua tingkat di Petaling Jaya dan menemukan dadah bernilai RM7.07juta melibatkan syabu seberat 30.1 kilogram (kg), ketamin (27.8 kg), pil ekstasi (79.9 kg) selain pil erimin (3.5 kg).
“Siasatan mendapati sindiket menggunakan kawasan parkir awam sebagai lokasi pengedaran dadah bagi mengelakkan dikesan polis. Malah, urusan pembayaran juga dilakukan di lokasi tersebut.
“Modus operandi sindiket adalah membawa kenderaan di kawasan parkir awam dan meninggalkannya sebelum diambil ahli sindiket lain,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, siasatan setakat ini mendapati suspek merupakan dalang sindiket dan telah bergerak aktif sejak enam bulan lalu.
Jelasnya, dadah yang dirampas dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan boleh dibekalkan kepada 336,102 penagih dalam masa sehari.
“Pemeriksaan rekod mendapati suspek yang masih bujang mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 39A (1) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif.
“Buat masa ini, siasatan masih dijalankan bagi mengesan harta benda milik suspek dan sekutunya di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988. Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” ujarnya. – UTUSAN