SHMMP 2021: Beli bekalan daripada orang kampung

SHMMP: Beli bekalan daripada orang kampung

MERHATI Shamsuddin mengemas bakul barang jualannya di Pasar Awam Masjid Tanah, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: “Harap-harap kos bekalan tidak naik mendadak menjelang hari raya nanti.”

Itu antara kebimbangan yang disuarakan para peniaga ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Awam Kuala Sungai Baru dan Pasar Awam Masjid Tanah dekat sini.

Seorang peniaga, Merhati Shamsuddin, 56, berkata, dia masih lagi memperoleh keuntungan walaupun margin yang kecil susulan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 sehingga 20 Mei ini.

Bagaimanapun katanya, ketidaktentuan harga daripada pemborong kerana faktor penawaran dan permintaan menjelang Aidilfitri menyebabkan keuntungannya tidak menentu.

“Buat masa ini harga siling yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna masih lagi okay. Kalau jual sayur sekilogram boleh dapat untung seringgit, tomato 50 sen.

“Yang menjadi masalah apabila dekat hari raya, permintaan pun tinggi. Kalau harga bekalan naik, rugi kami sebab harga daripada pemborong berubah-ubah,” katanya.

Senada dengan Merhati, seorang lagi peniaga, Rosli Talib, 42, berkata, harga daripada pemborong yang tidak menentu menyebabkan keuntungan juga merosot.

Menurutnya, jalan terbaik mengatasi masalah itu adalah dengan mendapatkan bekalan melalui penduduk kampung yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan.

“Harga daripada penduduk kampung lebih murah kerana pemborong mengambil untung sebagai orang tengah. Tapi ada masanya bekalan tidak cukup dan terpaksa juga ambil daripada pemborong,” katanya yang telah berniaga 15 tahun di situ.

Peniaga, Juliana Musa, 33, berkata, mengambil bekalan daripada penduduk sekitar kampung adalah strategi terbaik semasa pelaksanaan SHMMP.

Katanya, dia sudah lali dan bersedia dengan musim perayaan termasuk mengelak mengambil bekalan daripada pemborong buat sementara waktu.

Sementara itu tinjauan di Pasar Awam Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru mendapati, rata-rata peniaga mematuhi arahan peletakan harga siling oleh kerajaan dan mempamerkan harga pada tag merah jambu.

Pihak kementerian berkenaan menyenaraikan 32 barangan SHMMP 2021 antaranya ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, sawi hijau, terung panjang, timun dan halia tua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN