BACHOK: Malang berganda menimpa sembilan sekeluarga di Kampung Pauh Lima, di sini apabila kesemua mereka termasuk sepasang bayi kembar berusia lima bulan disahkan positif Covid-19.
Turut dijangkiti virus pandemik itu, kedua-dua ibu bapa bayi yang berusia 30-an bersama nenek mereka berusia 70-an yang dikatakan tinggal serumah.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, keluarga itu merupakan antara 84 individu yang disahkan positif Covid-19 hari ini selepas mereka menjalani ujian saringan yang bermula sejak kelmarin.
Katanya, keluarga terbabit kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan mereka semua dilaporkan stabil.
“Sehingga hari ini, kita sudah mempunyai 423 sampel dan daripada jumlah itu, 84 disahkan positif. Selebihnya akan diperoleh keputusan selepas tiga hari.
“Hari ini kita menjalani saringan terhadap lebih 100 penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat Kampung Pauh Lima yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi.
Dr. Zaini berkata, ekoran penularan wabak Covid-19 di Kampung Pauh Lima, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan puncanya mungkin akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) apabila penduduk solat berjemaah di surau.
“Hasil daripada keterangan daripada penduduk yang disahkan positif Covid-19, ada yang mengaku telah menghadiri solat berjemaah di Madrasah al-Ahmadiah tanpa menjaga jarak, tidak memakai pelitup muka dan tidak mengimbas suhu badan.
“Bagi mengelak penularan lebih teruk, kita mengarahkan agar program keagamaan dan solat berjemaah dihentikan serta-merta, ” katanya. – UTUSAN