PETALING JAYA: Usahawan dan pakar pelaburan, Norizam Tukiman mengembangkan sayapnya dalam bola sepak apabila membeli kelab Liga 2 Indonesia, PSPS Riau.
Norizam atau Zamsaham mengumumkan pengambil alihan PSPS Riau dalam media sosial hari ini, langkah yang diharap dapat mengukuhkan kedudukan dalam ‘perniagaan’ bola sepak selepas menjadi bos Kelantan FC sejak hujung musim lalu.
“Saya adalah peminat bola sepak dan pelabur, jadi saya melihat masa depan dan bukan mahukan keuntungan sekarang.
“Saya sayang penyokong PSPS Riau sebagaimana saya sayang penyokong Kelantan FC yang mahukan pasukan bola sepak mereka naik.
“Kini Kelantan FC boleh terus bekerjasama dengan PSPS Riau kerana pemiliknya (adalah orang) sama,” kata Norizam.
Apa yang menarik, kedua-dua pasukan memiliki julukan hampir sama. Jika Kelantan FC dikenali sebagai The Red Warriors, PSPS Riau pula bergelar Lucky Warriors.
Dalam masa sama, pasukan berpangkalan di Pekanbaru itu turut berkongsi perkembangan terbabit dan mengucapkan selamat datang kepada Norizam menerusi akaun Instagram mereka.
“Selamat datang Presiden baru PSPS Riau, Bapak Norizam Tukiman, efektifnya tanggal 3 Mei 2021. Dengan pengalaman di sepak bola, klub menantikan pembaharuan PSPS Riau di masa yang akan datang,” kata pasukan itu.