Segerakan penubuhan pejabat rasmi kerajaan Malaysia di Gaza - Utusan Malaysia

Segerakan penubuhan pejabat rasmi kerajaan Malaysia di Gaza

MOHD. Zin Kandar menunjukkan poster kesedaran berhubung konflik Palestin-Israel ketika ditemui di pejabat MyCARE Johor di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Malaysia digesa menggerakkan semula pelan membuka sebuah pejabat rasmi di Semenanjung Gaza, Palestin dalam usaha memberi bantuan secara lebih holistik dengan menggunakan pendekatan ‘kerajaan kepada kerajaan’ kepada kira-kira dua juta penduduk, di sana.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, hasrat penubuhan pejabat berkenaan pernah diutarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa mengunjungi Gaza pada 2018.

Katanya, sekarang adalah waktu terbaik merealisasikan perkara itu kerana nama Malaysia memang sudah dikenali di bumi bergolak itu.

“Ketika ini, hanya Turki dan Qatar mempunyai pejabat rasmi di Gaza bagi membolehkan sumbangan terus ‘kerajaan kepada kerajaan’ disampaikan untuk melaksanakan pelbagai pembangunan infrastruktur.

“Qatar misalnya banyak memberi bantuan dalam aspek perumahan awam dan kemudahan jalan raya manakala Turki memberi fokus kepada bantuan persekolahan dan kesejahteraan anak-anak yatim,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini hari ini.

Mohd. Zin yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, penubuhan pejabat kerajaan di Gaza membolehkan hasrat masyarakat negara ini melihat nasib dan kebajikan penduduk tempatan terbela.

“Jika Qatar boleh menubuhkan sebuah pejabat rasmi di sana, mengapa tidak Malaysia. Malaysia tidak boleh lagi hanya menyatakan sokongan kepada Palestin dan mengecam tindakan Israel semata-mata sebaliknya perlu mengambil tindakan lebih bermakna,” ujarnya.

Katanya, MyCARE bersedia menjadi pemudah cara untuk memastikan perkara itu dapat direalisasikan dengan mengambil kira jaringan perhubungan luas dimiliki pertubuhan bukan kerajaan itu sejak kewujudan MyCARE di Palestin pada 2010.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan beberapa pihak di sana termasuklah agensi tempatan, oleh itu kami boleh mencadangkan sektor yang boleh diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia seperti bekalan tenaga elektrik yang amat penting ketika ini.

“Ini penting agar sektor yang ditumpukan tidak bertindih dengan bantuan diberi kerajaan Qatar dan Turki,” katanya yang menambah majoriti bantuan kemanusiaan daripada Malaysia ke Palestin selama ini adalah melalui NGO dan bukannya kerajaan secara terus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya