PETALING JAYA: Polis sedang mengesan individu dikenali sebagai Aqila Yusri bagi membantu siasatan berhubung penularan video dakwaan kematian pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin akibat pengambilan vaksin AstraZeneca.
Rakaman video berdurasi tiga minit dan 34 saat itu turut mendakwa kematian Haziq berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin AstraZeneca dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyembunyikan hal tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman video terbabit daripada seorang pelajar perempuan pada 22 Mei lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati rakaman video berkenaan dimuat naik menerusi status WhatsApp milik penama Aqila Yusri selain dimuat naik dalam Instagram @agilayusri.
“Hasil penelitian dalam video itu mendapati terdapat seorang wanita menyatakan kematian Allahyarham Haziq berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat vaksin AstraZeneca.
“Malah, terdapat juga dakwaan bahawa KKM melaporkan jumlah kes positif yang tidak tepat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Zaid berkata, polis sedang mengesan suspek yang terbabit dalam rakaman video berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
“Orang ramai diseru supaya tidak sewenang-wenangnya mengulas atau menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih kerana tindakan itu boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE