Save Gaza jadi tema pilihan pertandingan ‘bersusul’ - Utusan Malaysia

Save Gaza jadi tema pilihan pertandingan ‘bersusul’

PEMASANGAN susul atau minyak pelita yang menarik perhatian kanak-kanak di Kampung Pengalat Besar, Papar Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri, ingatan terhadap saudara Islam di Palestin yang kini berdepan peperangan tidak harus dilupakan.

Sebagai tanda sokongan terhadap masyarakat Islam di bumi Palestin, Sahimon Santarin,38, bersama keluarganya memilih tema Save Gaza bagi menyertai pertandingan memasang susul atau minyak pelita yang diadakan julung-julung kali di daerah Papar ini.

Juruteknik Syarikat Penerbangan Malaysia itu berkata, mereka menggunakan dua tema dalam pertandingan itu iaitu Covid-19 dan Palestin. Bendera Israel dan Palestin turut diletakkan di kedua-dua penjuru.

“Di samping menyertai pertandingan bersusul ini, kami ingin menyampaikan mesej kepada orang ramai agar dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, kita tidak melupakan saudara Islam di Palestin.

“Kami juga ingin membantu memberi kesedaran tentang keperluan mengambil vaksin Covid-19 dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga membelanjakan kira-kira RM900 bagi menyediakan keseluruhan rangka papan, dawai dan diesel yang digunakan dalam pertandingan tersebut. Proses penyediaan bermula pada 25 Ramadan dan siap sepenuhnya menjelang malam takbir.

Program sebegini bukan hanya sekadar menyertai pertandingan tetapi, turut melibatkan kerjasama dalam kalangan anggota keluarga dalam menyediakan susul atau minyak pelita ini.

“Susul ini turut menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di Kampung Pengalat Besar ini. Sejak malam raya hingga sekarang memang ramai orang yang memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar berlatar belakang susul dengan tema Save Gaza.

“Tradisi pemasangan susul ini perlu diteruskan kerana ini akan mengingatkan kita tradisi nenek moyong kita yang menggunakan minyak pelita untuk menerangi kegelapan malam.

“Kami masih memilih minyak pelita dan bukan lampu LED sebab ingin mengekalkan keaslian turun-temurun sejak zaman nenek moyang kita,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Setiakawan Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pertandingan bersusul, bercucul atau berjujul itu adalah alternatif untuk menggantikan program kebudayaan lain yang tidak dapat dianjurkan kali ini sebab pandemik Covid-19.

Pertandingan yang diadakan kali pertama ini berjaya menarik 108 penyertaan daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Papar dan pemenang dijangka diumumkan esok (19 Mei).

Hadiah di peringkat DUN adalah RM3,000 dan johan keseluruhan akan menerima RM5,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya