LUMUT: Tindakan seorang lelaki merentas negeri untuk berkumpul di Pantai Remis dekat sini semalam untuk menghisap dadah, membawa padah apabila bukan sahaja dicekup atas kesalahan itu tetapi juga dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lelaki berusia 49 tahun dari Kedah itu dikompaun RM5,000 kerana merentas negeri dan dikompaun RM1,500 lagi kerana tiada penjarakan sosial.
Dalam serbuan di sebuah rumah kampung di Pantai Remis kira-kira pukul 4.25 petang semalam, polis turut menahan enam lelaki lain termasuk pemilik rumah yang masih belum berkahwin berusia 30-an.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, serbuan dilakukan anggota Balai Polis Pantai Remis hasil maklumat awam turut menemui dadah jenis methamphetamine seberat 0.28 gram.
“Semua tujuh lelaki itu berusia 25 hingga 49 tahun ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selain lelaki dari Kedah itu, enam lagi lelaki masing-masing dikompaun RM1,500 kerana tiada penjarakan sosial ketika ditahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Sungai Wangi dekat sini hari ini.
Menurut Nor Omar, siasatan awal mendapati lelaki dari Kedah itu merentas negeri atas alasan urusan kerja tetapi polis masih melakukan siasatan lanjut terhadap perkara tersebut.
Jelasnya, semua tujuh lelaki itu bekerja sebagai buruh dengan enam daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya, rumah tersebut tidak sampai sebulan dijadikan ‘port’ menghisap dadah di kawasan tersebut dan semua suspek datang ke situ semata-mata untuk menghisap dadah.
Nor Omar menjelaskan semua mereka direman empat hari bermula hari ini sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut. – UTUSAN