Rogol anak saudara: Penganggur dipenjara 18 tahun, 6 sebatan

Rogol anak saudara: Penganggur dipenjara 18 tahun, 6 sebatan

SEORANG penganggur (kiri) dihukum penjara 18 tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak saudaranya di Mahkamah Sesyen Kluang, Johor. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang penganggur dipenjara 18 tahun berserta enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak saudaranya, dua minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 39 tahun dan belum berkahwin itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa merogol anak saudara perempuannya yang berusia tujuh tahun lima bulan di sebuah rumah beralamat di Kampung Parit Salman, Simpang Renggam.

Dia yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 3.30 petang, 14 Mei lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun berserta sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar apabila mangsa mengadu kepada ibunya selepas kemaluannya berdarah sebelum ibu mangsa memeriksa dan mendapati terdapat darah di bahagian tubuh berkenaan.

Laporan perubatan pihak hospital turut mengesahkan terdapat kesan koyakan di bahagian dinyatakan.

Tertuduh kemudiannya ditahan pada keesokan hari apabila dipanggil polis untuk siasatan di Balai Polis Simpang Renggam.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh memohon maaf kepada Hakim berhubung kejadian dan meminta agar hukumannya diringankan kerana menjaga seorang ibu yang sudah uzur.

Pihak pendakwaan bagaimanapun meminta hukuman setimpal dengan mengambil kira kejadian melibatkan seorang kanak-kanak bawah umur mempunyai pertalian saudara dan tinggal berdekatan dengan mangsa.

Pendakwaan turut meminta agar hukuman dijatuhkan itu dapat menjadi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya