RM6 juta tingkatkan kemudahan, infrastruktur di Nilai 3

RM6 juta tingkatkan kemudahan, infrastruktur di Nilai 3

J. ARUL Kumar (kiri) dan beberapa pegawainya meninjau sebidang tanah di dalam kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 yang akan dibangunkan dengan kira-kira 107 unit kedai satu tingkat dan 34 buah kiosk perniagaan baharu. – FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kawasan Nilai 3 di Nilai dekat sini tiba-tiba menjadi popular dan menjadi sebutan warganet susulan kes melibatkan seorang selebriti dan suaminya yang didakwa merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3 untuk membeli permaidani baru-baru ini.

Tiada pertuduhan dikenakan kepada pasangan itu dalam kes tersebut menyebabkan ia menjadi bahan sindiran warganet yang menyatakan kawasan Nilai 3 berkemungkinan terletak di Selangor.

Utusan Malaysia bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar semalam, bagi mendapatkan maklum balas dan keadaan terkini kawasan tersebut yang tersenarai sebagai ‘9 wonders of Negeri Sembilan’ dan telah dicatatkan di dalam Malaysia Books of Records sebagai pasar borong terbesar di negara ini.

Arul Kumar yang juga Pe­nge­rusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri berkata, isu melibatkan selebriti tersebut sedikit seba­nyak menjadikan Nilai 3 menjadi sebutan meskipun keadaan sebenarnya kawasan berkenaan kini lengang dan sunyi tanpa kehadiran pengunjung.

“Bermula dengan sindiran dalam media sosial kemudian tiba-tiba sahaja ia menjadi seperti benar seolah-olah memang Nilai 3 sudah menjadi milik Selangor. Ramai yang percaya malah ramai yang bertanyakan hal itu kepada saya dalam media sosial dan melalui panggilan te­lefon, sebagai wakil rakyat saya kena menjelaskannya bahawa ia tidak benar.

“Tetapi apa yang semua harus ketahui ialah, Nilai 3 kini bukan seperti ketika era kegemilangan­nya dulu iaitu sekitar 10 atau 15 tahun yang lalu. Kawasan ini sudah lama, jadi ramai tidak mahu datang malah trend pembelian secara dalam talian juga memberi kesan kepada kira-kira 600 peniaga di sini,” katanya.

Arul Kumar menambah, pe­lak­sanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta hala­ngan kepada orang ramai untuk me­rentas negeri dan daerah menambah keadaan sukar bagi peniaga-peniaga di sini.

“Maklum balas peniaga juga memberitahu sambutan orang ramai bukan lagi seperti dahulu di mana hujung minggu, cuti umum di sini memang akan penuh dan sesak dengan pe­ngunjung membeli-belah. Tetapi sekarang tidak dan keadaan itu tentu memberi kesan kepada peniaga-peniaga di Nilai 3,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, menyedari potensi yang ada dan kedudukan strategik Nilai 3, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan untuk terus mempromosikan kawasan berkenaan termasuk RM6 juta bagi me­ningkatkan kemudahan dan infrastruktur di situ.

“Nilai 3 sangat dekat dengan Lebuh Raya Utara Selatan, lima minit sahaja dari Plaza Tol Nilai, berhampiran juga dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jadi tempat ini memang strategik. Kerajaan negeri akan terus menambah baik keadaan di kawasan ini seperti membina jalan baharu dan menurap jalan-jalan sedia ada, pemasangan lampu LED serta pembaikan kerosakan, semua kita buat.

“Bagi menambah nilai dan menarik kunjungan orang ramai ke kawasan ini, kerajaan negeri menyediakan sebidang tanah seluas kira-kira 3.23 hektar bagi dibangunkan pusat perniagaan baharu melibatkan kira-kira 107 unit kedai satu tingkat dan 34 buah kiosk perniagaan,” katanya.

Tambah Arul Kumar, isu me­ngenai kebanjiran warga asing di Nilai 3 juga akan diberi perhatian dan dicari jalan penyelesaian oleh kerajaan negeri dari semasa ke semasa termasuk de­ngan kerjasama dan pengli­batan pihak berkuasa tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya