Remaja lempar mercun didakwa - Utusan Malaysia

Remaja lempar mercun didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seorang remaja berusia 17 tahun yang dikaitkan insiden polis dilempar mercun di sebuah pangsapuri Bandar Baru Sentul mengaku bersalah Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan memasang bunga api tanpa kebenaran sah.

Bagaimanapun, Majistret Nur Farahain Roslan menetapkan 7 September ini bagi tarikh sebutan kes sementara menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa memasang bunga api tanpa kebenaran yang sah di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini pukul 12.50 pagi, 13 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil dan boleh dihukum dibawah akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 atau dipenjara maksimum satu bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang
manakala remaja itu tidak diwakili peguam bela.

Pada 15 Mei lalu, media melaporkan empat pelajar sekolah ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kejadian melontar mercun kepada anggota polis di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini.

Kejadian yang tular dalam media sosial itu selepas polis bertindak menyuraikan 200 orang berkumpul namun bertukar gempar apabila dibaling mercun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pada Jumaat lalu, seorang bapa kepada tiga anak yang dikaitkan dengan insiden sama didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis mercun di rumahnya di lokasi pangsapuri berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN