Rayuan anak Mohamad Sabu 29 Julai - Utusan Malaysia

Rayuan anak Mohamad Sabu 29 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 Julai ini bagi mendengar rayuan anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. Tarikh itu ditetapkan pada sesi pengurusan kes yang dijalankan dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar, Farah
Azura Mohd. Saad.

Peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 33, memberitahu pihak media, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan masing-masing sebelum tarikh pendengaran rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah mengesahkan perkara itu.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, jam 2.05 pagi pada 5 Januari 2019.

Anak bekas menteri itu merayu keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun lalu yang mensabitkannya dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara selama lapan bulan.

Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Ahmad Saiful Islam diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dia diperintah membayar wang jaminan RM9,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya