Ramadan masa untuk berhenti merokok - Utusan Malaysia

Ramadan masa untuk berhenti merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Umat Islam yang merokok perlu mengambil peluang keistimewaan bulan Ramadan untuk terus beristiqamah dalam berhenti merokok.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, kebanyakan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang itu meningkat pada bulan Ramadan dan itu adalah anugerah utama yang diberi kepada umat Islam untuk melawan nafsu.

Katanya, hal itu menyebabkan seseorang perokok itu akan mengikuti apa jua yang ditetapkan dan menganggapnya sebagai motivasi serta pendorong yang kuat untuk berhenti merokok.

“Sebagaimana kita tahu Ramadan adalah bulan istimewa kerana kita berpuasa dalam tempoh 13 hingga 14 jam dan sepanjang itu kita tidak makan atau minum serta melakukan perkara yang membatalkan puasa termasuklah menghisap rokok.”

“Di bulan puasa, ada beberapa faktor seseorang itu berjaya berhenti merokok dan salah satu puncanya adalah ketiadaan makan minum. Kita tahu makan minum adalah pencetus merokok kerana selepas makan minum sudah menjadi tabiat untuk merokok. Pada siang hari di bulan Ramadan, tiada pencetus atau triggers tersebut,” katanya pada program Berhenti Merokok Ketika Ramadan di Media Mulia TV yang dibawakan oleh Persatuan Farmasi Malaysia, dan disokong oleh Pfizer serta DoctorOnCall, baru-baru ini.

Menurut kajian, seseorang itu sukar berhenti merokok disebabkan ketagihan terhadap nikotin kerana kebergantungan seorang perokok itu terhadap nikotin adalah lebih tinggi daripada kebergantungan seorang penagih terhadap heroin atau kokain.

Berdasarkan pakar ketagihan seperti Henningfield dan Benowitz, mereka memberi penilaian potensi nikotin untuk menyebabkan kebergantungan kepada perokok adalah pada skala maksimum iaitu 6 daripada 6, lebih tinggi berbanding heroin mahupun kokain.

Mohamad Haniki berkata, mereka yang mahu berhenti merokok boleh mendapatkan ubat-ubatan serta bantuan daripada Kementerian Kesihatan ataupun farmasi swasta.

“Hanya perlu masuk laman web jomquit.com dan boleh pilih farmasi, klinik atau hospital mana yang dia hendak pergi dapatkan khidmat berhenti merokok. Berdasarkan bukti terkini, intervensi tingkah-laku bersama ubat-ubatan akan memberi hasil yang tertinggi untuk berhenti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata, mereka yang mahu berhenti merokok perlu mempunyai kehendak baharu untuk ke langkah seterusnya iaitu berhenti merokok.

Katanya, platform DoctorOnCall memfokuskan kepada kesedaran kesihatan dan kandungan kesihatan yang bermula sejak tiga, empat tahun lepas.

“Di DoctorOnCall, kami memberi tumpuan kepada kesedaran kesihatan, antaranya kesedaran berhenti rokok yang dilakukan secara maya. Platform ini menjadikan sumber kesihatan, pendidikan dan telekomunikasi dengan doktor secara lebih mudah,” katanya.

Tambah beliau, seseorang perokok itu boleh mengawal dan boleh mengelak perkara yang tidak diingini kerana mereka tahu merokok boleh menyebabkan hampir 50 peratus kepada kanser.

“Di laman web DoctorOnCall, kita boleh buat pengiraan ringkas. Kalau kita merokok 15 batang sehari, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, berapa banyak simpanan yang dapat kita capai, dan dari segi kesihatan pula, berapa peningkatan fungsi paru-paru. Semua ini berdasarkan kajian daripada jurnal antarabangsa,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai pusat kesihatan berhenti merokok yang dilancarkan oleh Pfizer dan DoctorOnCall, sila layari  www.doctoroncall.com.my/health-centre/berhenti-merokok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya