PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang mempunyai hasil ujian RTK-Ag positif tidak perlu ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) tetapi hanya kuarantin di rumah masing-masing.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, individu terbabit akan diberi surat Perintah Kuarantin di Rumah (HSO) dan dipakaikan gelang pengawasan serta mengemas kini setiap masa status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera sementara menunggu keputusan ujian RT-PCR.
Katanya, namun sekiranya gejala bertambah teruk semasa menunggu keputusan RT-PCR di rumah, mereka dinasihatkan untuk segera ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Walau bagaimanapun, RTK-Ag positif menjadi ujian diagnostik bagi individu yang tinggal di daerah atau negeri yang disahkan mempunyai prevalen kes Covid-19 melebihi 10 peratus, berdasarkan analisa concordence test RTK-Ag dan RT-PCR yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
“Selain itu, pihaknya akan meningkatkan survelan ke atas semua kes bergejala yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan, mereka yang mempunyai faktor komorbid dan tanpa mengira usia. Ia bertujuan meningkatkan pengesanan kes Covid-19 dalam komuniti bagi tindakan kawalan dan pencegahan dapat segera diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan mengenai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang mengumumkan ujian RTK-Ag akan diperluaskan dengan bantuan negeri, Dr. Adham berkata, pihaknya akan meningkatkan saringan bagi kontak rapat khususnya di Lembah Klang dengan mewujudkan pusat-pusat persampelan dalam komuniti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok.
“Penggunaan RTK-Ag bagi mempercepatkan pengenalpastian kes supaya pencegahan penularan jangkitan dalam komuniti dapat dilaksanakan,” katanya.
Ditanya negeri mana yang mempunyai kadar positif Covid-19 melebihi 5 peratus minggu ke 21 iaitu 23 hingga 29 Mei lalu, beliau berkata, sebanyak 774,863 individu dari seluruh negara telah disampel dan didapati daripada jumlah ini, seramai 53,419 orang bersamaan 6.89 peratus didapati positif Covid-19.
“Berdasarkan pecahan individu yang menjalani ujian pengesanan Covid-19 mengikut negeri mendapati semua negeri mempunyai kadar positiviti melebihi 5 peratus kecuali Perak, Sabah dan Perlis,” katanya. – UTUSAN