BACHOK: Polis menahan tujuh lelaki kerana berkumpul beramai-ramai sambil membuat ‘kenduri’ minum air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tempoyak, Kota Bharu, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam, kesemua lelaki terbabit berusia lingkungan 20-an itu berkumpul kononnya sebagai ‘majlis rumah terbuka’ sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, ketika serbuan yang digerakkan hasil maklumat awam itu, pihaknya mendapati tujuh lelaki terbabit dalam keadaan khayal selepas minum air ketum beramai-ramai.
“Kita turut mengenakan kompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan cara berkumpul beramai-ramai.
“Orang lain berkumpul sambut Syawal dengan juadah raya, namun kumpulan lelaki itu membuat rumah terbuka dengan menghidangkan ketum,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau turun padang meninjau persiapan kawalan keselamatan di sekitar Kampung Pauh Lima di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 19 Mei hingga 1 Jun depan.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Racun. – UTUSAN