GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 302 kompaun kepada orang ramai yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 10 Mei hingga semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memakai pelitup muka, gagal melakukan penjarakan fizikal, tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera serta merentas daerah dan negeri.
“Sebilangan besar kompaun dikeluarkan selepas kita mendapati orang ramai masih berdegil dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Polis juga telah mengetatkan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya di sini hari ini.
Kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.
Sebelum pelaksanaan PKP secara menyeluruh, beberapa daerah dan mukim di Pulau Pinang seperti di Timur Laut, Seberang Prai Tengah dan Seberang Prai Selatan, Mukim 12 daerah Barat Daya serta Mukim 14 terlebih dahulu dikenakan PKP bermula 10 Mei.
Menurut Sahabudin, selain mengetatkan pemeriksaan berkaitan SOP Covid-19 di SJR, polis juga menempatkan Unit Anjing Pengesan (K9) di SJR terutama di Juru dekat sini bagi mencegah kejadian jenayah.
Dalam pada itu beliau berkata, polis juga akan terus menutup pusat-pusat hiburan yang tidak mematuhi SOP pencegahan Covid-19.
“Pihak polis akan terus menjalankan tugas di dalam kuasa kami untuk membantu pihak berkuasa menghentikan penyebaran Covid-19,” katanya. – UTUSAN