SHAH ALAM: Polis menafikan penyebaran video yang mendakwa orang ramai tidak boleh berada di atas jalan raya sebelum pukul 8 pagi atau selepas pukul 8 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diadakan sehingga 7 Jun ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya percaya ia hanya satu salah faham dalam kalangan masyarakat dan kesal jika perkara itu memberikan kesulitan kepada orang ramai.
Menurutnya, merujuk kepada penularan sebuah video semalam, dalam operasi selama dua jam 30 minit yang bermula pukul 7 pagi itu, dua pegawai bersama 13 anggota sedang melakukan sekatan jalan raya (SJR).
Katanya, SJR Mobile Ops Pelbagai Kesalahan Lalulintas PKP Covid-19 di Jalan Persiaran Anggerik, Eria, Seksyen 31, di sini.
“Selepas selesai SJR, kita dapati tular video melibatkan perbualan antara anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Shah Alam dengan sebuah kenderaan yang tidak pasti nombor pendaftarannya.
“Dalam perbualan ini, anggota tersebut bertanyakan berkaitan surat pergerakan dan tujuan pemandu itu. Malah anggota terbabit juga menerangkan kepada pemandu berkenaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pergerakan PKP.
“Malah, tidak mengeluarkan sebarang kompaun terhadapnya dan kita ingin menegaskan bahawa tiada SOP yang menyatakan kenderaan tidak boleh berada di atas jalan raya sebelum bermula pukul 8 pagi hingga selepas 8 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam video yang dirakam bermula pukul 7.56 pagi berkenaan, anggota polis terbabit bertanyakan surat pergerakan PKP sebelum pukul 8 pagi dan memaklumkan jika tidak mempunyainya boleh dikenakan kompaun RM2,000 manakala pemandu berkenaan memaklumkan dia hanya ingin ke pasar raya yang terletak berhampiran.
Akibat penularan video berkenaan, pengguna media sosial melahirkan pertanyaan adakah orang ramai tidak dibenarkan keluar dan bergerak ke mana-mana destinasi sebelum pukul 8 pagi.
Mengulas lanjut, Baharudin berkata, dalam operasi yang dijalankan, pihaknya telah mengeluarkan 78 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan satu saman kompaun PKP di bawah Peraturan 17(3) (No 5) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ketika pelaksanaan PKP.
“Pemeriksaan SJR oleh BSPT selain dari tumpuan atas kesalahan melibatkan PKP, kesalahan-kesalahan melibatkan lalu lintas juga akan diambil tindakan.
“Kompaun PKP ini bukan dikeluarkan kepada pemandu kenderaan yang viral tadi tetapi kepada pemandu yang melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17 (3)(5)Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu gagal mematuhi SOP apabila seramai empat penumpang berada dalam kenderaan persendirian,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE