Polis Perak rampas dadah RM2j - Utusan Malaysia

Polis Perak rampas dadah RM2j

MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas bernilai hampir RM2 juta dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan enam individu termasuk dua pasangan suami isteri yang dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini pada kelmarin dan semalam.

Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 34 tahun itu ditangkap dalam serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak.

Dalam serbuan itu, dadah bernilai hampir RM2 juta dirampas dengan sebahagiannya dijual dalam bentuk pil selain campuran dadah dalam minuman berperisa buah-buahan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang diberkas di tempat letak kereta sebuah kondominium di Kampung Simee, kelmarin.

Katanya, tangkapan pada pukul 2.30 petang itu membawa kepada penemuan 26.31 gram dadah disyaki ketamin dan 100 biji pil dipercayai eramin 5.

“Susulan tangkapan tersebut, kita telah membuat serbuan di tiga lokasi di Kampung Simee, Tambun dan Bercham di mana seorang lelaki dan dua wanita berusia 26 hingga 32 tahun ditangkap.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menemui 12,800 biji pil eramin 5, 1,000 biji pil ecstasy, dadah disyaki ketamin seberat 665 gram, 13,650 gram serbuk disyaki dadah dan 183 peket serbuk minuman seberat 5,460 gram yang dipercayai mengandungi dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, pihaknya juga telah melakukan dua serbuan lagi di Bukit Merah dan Kampung Rapat pada pukul 5.10 petang semalam dan menahan dua lelaki berusia 27 dan 34 tahun serta merampas 2.6 gram dadah jenis ketamin.

Beliau berkata, jumlah rampasan dadah bagi kesemua tangkapan sebanyak RM1,983,993 selain turut menyita beberapa kenderaan, barangan kemas dan jam tangan bernilai RM262,596.

“Siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak tahun lalu itu didalangi ahli keluarga di mana empat individu yang ditahan merupakan pasangan suami isteri.

“Dadah yang dirampas itu diedarkan untuk pasaran tempatan dan boleh menampung keperluan lebih 100,000 penagih,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek itu ditahan reman bermula semalam di mana tempoh reman suspek pertama akan tamat pada Rabu depan manakala lima yang lain sehingga Ahad ini.

“Daripada enam individu itu, hanya seorang sahaja mempunyai rekod kesalahan lampau dan positif dadah. Siasatan lanjut ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya