PKPD: Tiada pembelian panik di Kuantan - Utusan Malaysia

PKPD: Tiada pembelian panik di Kuantan

KEHADIRIN pengunjung yang lebih tinggi berbanding hari biasa namun keadaan masih terkawal di Pasar Besar Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh mukim seluruh daerah ini yang bermula esok tidak mengakibatkan berlakunya situasi pembelian panik segelintir masyarakat di sini.

Tinjauan di Pasar Besar Kuantan di sini hari ini mendapati, peniaga dan pengunjungnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Namun terdapat segelintir pengunjung yang keliru tentang PKP dan PKPD, sedangkan tempat mendapatkan keperluan harian khususnya seperti pasar besar masih dibenarkan beroperasi seperti biasa esok, walaupun PKPD dikuatkuasakan.


NOR ASHIKIN ABU BAKAR

Bagi pengunjung Pasar Besar Kuantan, Nor Ashikin Abu Bakar berkata, pelaksanaan PKPD tidak membebankan dan mengganggu rutin hariannya yang hanya merupakan seorang suri rumah.

“Jika sebelum ini saya ke pasar (Besar Kuantan) tiga kali seminggu, sejak kes (Covid-19) meningkat, saya cuma datang sekali seminggu.

“Buat masa ini saya fikir tidak perlu panik kerana semua (bekalan) mencukupi di pasar ini dan saya fikir ia (PKPD) tidaklah sampai membuatkan orang ramai melakukan pembelian panik,” katanya ketika ditemui di pasar berkenaan di sini hari ini.

Peniaga, Abdul Mujib Ali yang sudah berniaga di pasar itu kira-kira 20 tahun lalu pula berkata, melalui pemerhatiannya, keseluruhan pengunjung pasar tidak melakukan pembelian panik hingga mengakibatkan situasi sesak dan tidak terkawal.

“Lagipun ini bukan kali pertama kita berdepan PKP, sudah setahun kita PKP, jadi apa lagi hendak panik.

“Memang ramai (pengunjung) hari ini, kalau kita tengok di luar sana yang beratur, panjang juga… tapi, semua terkawal kerana MBK sudah menetapkan jumlah pengunjung yang boleh berada dalam pasar pada satu-satu masa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Azizah Omar berkata, keadaan di pasar berkenaan adalah terkawal dan hanya terdapat segelintir pengunjung yang melakukan pembelian panik.

“Memang tidak dinafikan jumlah pengunjung pasar hari ini meningkat lebih 80 peratus daripada biasa. Mungkin mereka sengaja datang awal untuk mengelakkan bersesak-sesak, tapi nampaknya pagi ini memang ramai berbanding hari minggu sebelum ini.

“Sama ada mereka (melakukan pembelian panik) atau sengaja datang awal, itu saya tidak pasti. Macam hari ini, biasanya dalam pukul 1 petang barulah semua ayam dijual di gerai saya habis. Kira-kira 200 ekor ayam habis terjual,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya