KEMAMAN: Cubaan dua kapal bekalan melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kedua-dua kapal itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan selepas merapat antara satu sama lain di kedudukan 3.4 batu nautika dari Kuala Kemaman di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan minyak itu dilakukan tanpa kebenaran sah dan kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rashidilhadi, kesemua 17 kru warga tempatan dan Indonesia yang berusia antara 22 hingga 61 tahun itu didapati memiliki dokumen pengenalan diri sah.
Katanya, kedua-dua kapal dan kru dibawa ke Zon Maritim Malaysia Kemaman untuk siasatan lanjut.
Rashidilhadi berkata, Maritim Malaysia memandang serius kegiatan haram tersebut dan pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan terhadap kapal-kapal yang bersauh di perairan negara bagi memastikan undang-undang dipatuhi. – UTUSAN ONLINE