Pestans juga keluar Persatuan Sepaktakraw Malaysia

Pestans juga keluar PSM

WAN Ahmad Husni Abdullah (tengah) dalam sidang akhbar di Seremban bagi mengumumkan keputusan Pestans keluar daripada PSM. Yang hadir sama, Naib Presiden Pestans, Rohaizad Ismail (kanan) dan Setiausaha Kehormat Pestans, Mohd. Syaharin Ismail. - FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans) menjadi ahli gabungan terbaharu yang membuat keputusan keluar daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Presiden Pestans, Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, keputusan itu diambil selepas ahli Exco persatuan itu mengadakan mesyuarat secara dalam talian semalam dan sebulat suara bersetuju untuk keluar daripada menjadi ahli gabungan PSM.

“Kami juga memberi sokongan kepada penubuhan persatuan sepak takraw Malaysia yang baharu dan memberi laluan kepada kepemimpinan baharu untuk memastikan kelancaran pembangunan sukan sepak takraw di Malaysia.

“Harapan kami juga agar hubungan dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dapat dipulihkan dan kembali bagi menjalinkan hubungan dan kerjasama baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga berharap supaya pihak Pesuruhjaya Sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN) segera campur tangan di dalam memberikan penjelasan bagi menyelesaikan kemelut di dalam sepak takraw Malaysia ketika ini.

“Diharap dengan kepemimpinan baharu yang bakal diberi mandat dapat memulihkan kembali sukan sepak takraw Malaysia dan membawa ke landasan yang lebih baik dengan etika kepemimpinan pengurusan pentadbiran yang lebih profesional.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Husni berpandangan, tindakan banyak ahli gabungan bertindak keluar daripada PSM adalah berkemungkinan kerana mahukan ‘angin baharu’ dalam kepemimpinan persatuan sukan berkenaan.

“Semua sedia maklum Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail juga telah memegang jawatan itu lebih kurang 16 tahun, saya dapat rasakan ahli gabungan mahukan perubahan.

“Pestans mahu turut berada dalam perubahan ini dan tidak mahu tertinggal dalam arena sepak takraw Malaysia,” katanya.

Beliau dalam pada itu menambah, penubuhan persatuan baharu yang akan menaungi sukan sepak takraw di negara ini perlu disegerakan supaya ia tidak membantutkan program pembangunan sukan itu.

“Kami mahu kemelut ini supaya dapat segera berakhir dan kami di Pestans menyokong agar satu gaya kepemimpinan yang amat baik dalam memastikan sepak takraw terus membangun di negara ini,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya