MELAKA: Kegagalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri membina batu sangkar di Sungai Paya Luboh dekat sini menjadi punca kira-kira 33 pesawah dekat sini kerugian hampir RM120,000.
Ia ekoran hujan lebat Isnin lalu mengakibatkan kawasan sawah padi seluas 52 hektar dilanda banjir hingga menjadikannya seperti sebuah tasik menenggelamkan anak padi yang baru sebulan ditanam pesawah.
Seorang pesawah, Rosli Ahmad, 52, berkata, JPS pernah berjanji akan memasang batu sangkar di sungai berkenaan bagi mengelak limpahan air dan hakisan sungai, tetapi segalanya sekadar ‘omong kosong’ semata-mata.
Katanya, jika batu sangkar dipasang, berkemungkinan sawah padi di kawasan tersebut tidak dilanda bah yang teruk seperti sekarang.
“Kita telah memohon kepada JPS sejak tiga tahun lalu. JPS datang ke kawasan ini sudah banyak kali. Asal datang mereka kata JPS akan bina batu sangkar. Kali terakhir mereka datang Disember lalu.
“Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Azman Hassan tapi hasilnya sekadar janji semata-mata,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pesawah padi di Paya Luboh kerugian hampir RM120,000 apabila kawasan sawah ditenggelami air banjir ekoran hujan lebat yang melanda beberapa daerah di negeri ini.
Ketua Unit Peladang Paya Luboh, Zahedan Udiniah Bahari berkata, hampir seluruh kawasan sawah di situ digenangi air hingga menenggelamkan anak padi yang baharu ditanam sebelum Ramadan.
Dalam pada itu, seorang lagi pesawah, Sabri Yusof, 55, berkata, musibah yang menimpa itu memaksa dia membajak semula sawah miliknya berkeluasan lima hektar, selain terpaksa membeli benih padi yang baharu.
“Ini kali kedua sawah saya ditenggelami banjir. Kali pertama berlaku awal tahun ini dan saya menanggung kerugian yang sama.
“Kali ini banjir sangat teruk kerana tiga hari air baru surut. Anak padi pula baru ditanam, bila terlalu lama ditenggelami air sudah tentu ia akan mati tidak sampai beberapa hari,” katanya dengan nada kecewa. – UTUSAN