PETALING JAYA: KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa bermula pukul 6 pagi ini dengan menggunakan satu landasan dengan disokong perkhidmatan bas perantara percuma.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan memaklumkan, penumpang dijangka perlu menunggu lebih lama daripada biasa dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu lain serta pengurangan kapasiti kepada 50 peratus susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Untuk melancarkan pergerakan para penumpang pada waktu puncak, lima buah bas perantara dua tingkat percuma dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.
“Kakitangan operasi juga akan ditempatkan di setiap platform stesen di antara Stesen Pasar Seni sehingga Stesen Ampang Park untuk memantau, membantu untuk memudahkan pergerakan penumpang,” katanya.
Malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 penumpang dilaporkan mengalami luka ringan dalam perlanggaran dua tren LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.
Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.
Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari, setelah semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai. Prasarana juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, prasarana kesal dengan kejadian yang berlaku dan akan terus memantau perkembangan penumpang yang terlibat dalam insiden semalam serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.
“Pengguna perkhidmatan Rapid KL kini boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah, menggunakan aplikasi ‘PULSE’ yang boleh dimuat turun melalui melalui ‘Google Play Store’ atau ‘Apple App Store’,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE