KANGAR: Penyeludup ketum dari Kedah sanggup rentas negeri dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi upah sebanyak RM800 bagi sekali penghantaran daun ketum ke negeri ini.
Mereka dikatakan menggunakan jalan tikus sambil diiringi tonto dari sini yang berperanan sebagai penunjuk jalan ke sempadan Padang Besar untuk transit bekalan tersebut di situ sebelum diseludup ke Thailand.
Bagaimanapun, taktik terbaharu itu berjaya dihidu Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) negeri yang berjaya merampas kira-kira 470 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM14,100 dan menahan empat lelaki di Jalan Baru Semadong, Beseri, semalam.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Azizan Saman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu, pihaknya yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut terserempak dengan sebuah Proton Wira Aeroback berwarna merah dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota bertugas kemudianya menggunakan pembesar suara dan meminta pemandu untuk memberhentikan kereta, namun tidak diendahkan sehingga menyebabkan anggota terpaksa mengejar lelaki terbabit sebelum memintasnya.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 47 plastik hitam yang dipercayai berisi daun ketum. Bekalan ketum ini dipercayai diambil dari Naka, Kedah sebelum dibawa masuk ke negeri ini untuk diletakkan di stor sekitar Padang Besar sebelum diseludup keluar.
“Suspek iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun yang berasal dari Kedah kemudian ditahan untuk siasatan lanjut. Suspek juga dikompaun sebanyak RM5,000 atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya ketika ditemui di pejabat Aksem Chuping, di sini hari ini.
Tambah Azizan, beliau juga tidak menolak kemungkinan kumpulan penyeludup itu mempunyai kaitan dengan kes rampasan satu tan metrik ketum di sebuah rumah yang dijadikan transit di Kampung Guar Sanji Rabu lalu.
Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya juga menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki tiga orang lelaki berusia 24 hingga 29 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tonto kepada kereta Wira Aeroback di jalan yang sama kira-kira 10 minit kemudian.
“Pemeriksaan terhadap suspek menemukan lima bungkusan plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 19.7 gram bernilai RM2,000.
“Ketiga-tiga mereka yang berasal dari Perlis disyaki mengiringi suspek dari sempadan Kedah dan dibawa ke sempadan Perlis-Thailand,” ujarnya.
Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati pemandu kereta Wira Aeroback dan dua suspek dari kereta Myvi tersebut positif dadah jenis methamphetamine.
“Semua barang rampasan dan suspek diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN