PETALING JAYA: Individu yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara akan diperiksa dengan lebih ketat dan terperinci bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beberapa dokumen sokongan termasuk surat daripada ketua jabatan yang mengarahkan mereka bertugas di pejabat perlu dikemukan di setiap SJR yang mereka lalui.
Kata beliau, pemeriksaan lebih ketat itu dilakukan terhadap mana-mana individu yang melakukan pergerakan.
“Jika sebelum ini penjawat awam hanya menunjukkan pas kerja untuk berada di jalan raya, namun pada kali ini mereka harus menunjukkan dokumen arahan daripada ketua jabatan masing-masing.
“Bagi kakitangan swasta dan mereka yang terbabit dalam sektor perkhidmatan penting mereka perlu menunjukkan dokumen berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Tambah, Acryl Sani, dokumen yang berdaftar dengan MITI ini seharusnya mempunyai satu tarikh yang mula berkuat kuasa esok dan sebarang dokumen kebenaran dikeluarkan sebelum tarikh ini adalah tidak sah. – UTUSAN