Peningkatan kes ‘wake up call’ kepada semua - Sahruddin

Peningkatan kes Covid-19 ‘wake up call’ kepada semua

SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peningkatan kes baharu harian Covid-19 secara terus menerus sehingga akhirnya jumlah keseluruhan kini mencecah 500,000 perlu menjadi ‘wake up call’ kepada seluruh masyarakat.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, sekarang bukan masa menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak sebaliknya memberi tumpuan penuh terhadap usaha memerangi wabak itu.

“Melihat kepada perkembangan semasa Covid-19, saya percaya bukanlah mudah bagi kerajaan memutuskan sebarang keputusan dan tindakan bagi mengawal pandemik di saat sedang berusaha memulihkan kembali ekonomi negara serta masyarakat.

“Saya yakin setiap keputusan dan tindakan pihak kerajaan dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh serta kolektif dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19. 

“Saya juga percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak awal pentadbiran lagi telah melakukan usaha yang terbaik demi mengawal pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr. Sahruddin berkata, selain itu penambahbaikan terhadap penyampaian maklumat dan kesedaran awam berkenaan pandemik itu perlu dilakukan.

Bekas Menteri Besar itu berkata, begitu juga dengan tindakan penguatkuasaan mengikut lunas perundangan yang bersifat tegas dan menyeluruh. 

“Saya percaya kita boleh melandaikan lengkung kes jangkitan Covid-19 sekali lagi dan mampu menurunkan kes baharu harian ke angka sifar seperti mana yang pernah dilakukan sebelum ini. Ini memerlukan komitmen daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, usaha memerangi pandemik itu menuntut pengorbanan dan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang, tidak kira sama ada seorang wakil rakyat, penjawat awam, sektor swasta, selebriti, peniaga kecil mahu pun orang perseorangan. 

“Tiada batas lagi untuk kita berusaha dan menunjukkan kesungguhan dalam bersama-sama dengan kerajaan memerangi pandemik ini di lapangan. Tindakan kita juga akan mencerminkan penghargaan terhadap perit jerih kumpulan ‘frontliners’,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya