Peniaga ‘berputih mata’ jika 350 tan tembikai busuk

Peniaga ‘berputih mata’ jika 350 tan tembikai busuk

SEBAHAGIAN peniaga masih meneruskan perniagaan dan sanggup berdepan tindakan saman PBT untuk menyelamatkan beratus tan tembikai rosak. - FOTO/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lebih 50 peniaga di sekitar daerah ini, Kota Bharu dan Bachok terpaksa ‘berputih mata’ jika 350,000 kilogram bekalan tembikai dalam simpanan mereka tidak terjual dan mula membusuk, susulan arahan penutupan gerai tepi jalan berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan harga belian secara pukal dari ladang RM1.50 sekilogram, situasi tersebut dijangka mengakibatkan kumpulan peniaga terbabit berdepan kerugian besar iaitu mencecah RM525,000.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang jalan utama Tok Bali – Pasir Puteh – Bachok di sini bagaimanapun mendapati hanya segelintir gerai buah-buahan ditutup biarpun notis arahan penutupan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diedarkan sejak semalam.

Salah seorang peniaga yang masih membuka gerai, Siti Nurhidayu Husin, 37, berkata, para peniaga buah-buahan bukan berniaga secara bermusim sebagaimana peniaga gerai lauk-pauk atau kuih-muih yang hanya mencari rezeki ketika bulan Ramadan sahaja.

“Ini satu-satunya punca rezeki saya sepanjang tahun. Saya akan tutup gerai jika kerajaan negeri sanggup beri pampasan RM12,000 iaitu modal yang saya habis untuk bekalan tembikai baru diterima dari Jertih, Terengganu semalam,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Muhamad Ismail, 36, pula akur dengan arahan dikeluarkan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan bertindak mengagihkan satu tan bekalan tembikai dalam simpanan­nya secara percuma kepada orang ramai.

Walaupun akur, Muhamad menyifatkan arahan penutupan gerai dikeluarkan kerajaan negeri itu bagaikan memberi ‘wahyu’ tanpa kajian terma­suk tidak turun padang untuk mendengar sendiri pandangan peniaga.

“Yang peliknya pasar tani di Cherang Ruku melibatkan 30 peniaga dibenarkan beroperasi pula. Saya difahamkan mereka membayar permit agak mahal. Mungkin pihak berkuasa melihat Covid-19 hanya menjangkiti gerai di tepi jalan tetapi tidak di pasar tani,” sindirnya.

Turut mengeluh peniaga durian, Zaini Ismail, 50, yang berkata, arahan drastik dikeluarkan kerajaan negeri tidak logik akal kerana gagal mengambil kira kerugian ditanggung mereka memandangkan buah-buahan hanya mampu bertahan dalam tempoh empat hari sahaja.

“Arahan menutup gerai sepatutnya tidak melibatkan peniaga buah kerana kehadiran pembeli tidak pernah menimbulkan kesesakan dan belum ada lagi kluster kedai buahan setakat ini,” katanya.

Yang Dipertua MDPP, Abd. Pattah Hasbullah ketika dihubungi pula berkata, arahan penutupan gerai tepi jalan dikeluarkan pihaknya sebagaimana diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri Kelantan.

Menurutnya, unit penguat kuasa MDPP telah turun padang untuk memaklumkan perkara itu sambil memberi penjelasan terperinci kepada peniaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya