Penghulu buat laporan polis tuduhan tidak berasas, fitnah - Utusan Malaysia

Penghulu buat laporan polis tuduhan tidak berasas, fitnah

JAMANI Jamaludin menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap seorang individu kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan berunsur fitnah terhadap penghulu di IPD Kota Setar, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Kedah hari ini membuat laporan polis terhadap seorang individu kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan berunsur fitnah yang boleh menjatuhkan maruah serta imej institusi penghulu di negeri ini.

Pengerusinya, Jamani Jamaludin berkata, laporan tersebut dibuatnya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 10 pagi.

Menurutnya, kenyataan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan bantuan kepada penduduk di negeri ini yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Malam kelmarin saya dimaklumkan oleh rakan-rakan mengenai satu hantaran di kumpulan Facebook ‘Kedah di Hatiku’ oleh individu menggunakan nama akaun ‘Wann Cadberry’ yang menulis ‘Kita orang Kedah nk lock down xdak mslh tp masa agihan bntuan tu klaw blh jgn bgi kt tok pnghulu biaq frontliner yg agihkan…yg paham tu paham la noh…’.

“Dalam ruangan komen di hantaran tersebut, ramai yang membuat komen menuduh penghulu mengagihkan bantuan tidak betul, kroni, mengagihkan bantuan kepada adik beradik, pilih bulu dan sebagainya. Pelbagai tohmahan tanpa asas telah dibuat menyebabkan kami membuat laporan polis agar perkara ini disiasat,” katanya di sini, hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hantaran tersebut telah dipadam setelah berlaku pertikaian antara beberapa pihak mengenainya.

Mengulas lanjut Jamani yang juga Penghulu bagi mukim Pengkalan Kundur berkata, hampir semua penghulu di negeri ini akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Tindakan sedemikian dianggap menjatuhkan maruah institusi penghulu di Kedah yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri.

“Setakat ini kami hanya membuat laporan polis dan akan menanti maklum balas daripada pihak berkaitan. Kami juga akan melihat kemungkinan untuk mengemukakan saman terhadap individu yang terlibat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya