SEREMBAN: Seorang penganggur berusia 20 tahun dijatuhkan hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa serta merta oleh Mahkamah Khas Trafik Seremban, hari ini.
Tertuduh, Muhammad Hilmi Mohammad Firdaus mengaku faham atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Intan Syafinaz Roslin.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC melakukan kesalahan berkenaan pada 17 Jun tahun lalu.
Kesalahan itu dilakukannya kira-kira pukul 9.45 malam di Kilometer 282.4 sehingga Kilometer 286, Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) di Nilai.
Tertuduh didakwa menunggang dalam keadaan melulu dan membuat aksi bersaing sesama sendiri, zig zag dan menundukkan badan adalah berbahaya kepada orang awam.
Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Kes sebelum ini dituduh di Mahkamah Seremban pada 25 Mac lalu namun Majistret menangguhkan hukuman kerana menunggu laporan akhlak.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirah Syed Ahmad Yunus manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, remaja berkenaan mempunyai rekod jenayah dan pernah dipenjarakan sebelum ini di atas kesalahan di bawah seksyen 395KK/397 Kanun Keseksaan atas jenayah samun berkumpulan. – UTUSAN ONLINE