TUMPAT: Penduduk di Kepulauan Tumpat di sini, mengadu masalah mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih semakin serius sejak kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hingga 4 Jun depan.
Kawasan yang dikenakan PKPD ialah Mukim Sungai Pinang yang melibatkan empat lokaliti iaitu Teluk Renjuna, Pantai Nik Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri.
Seorang penduduk di Teluk Renjuna, Mohd. Zain Sulaiman, 63, berkata, kawasan pulau berkenaan mengalami masalah bekalan air sejak sekian lama dan biasanya penduduk akan naik ke tanah besar untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Disebabkan PKPD katanya, mereka kini tidak boleh lagi berbuat demikian menyebabkan keluarganya hanya menggunakan bekalan air sungai untuk mandi dan pelbagai urusan harian lain.
“Walaupun air sungai keruh, namun itu sajalah bekalan air yang dapat kami guna untuk urusan harian termasuk mengambil wuduk dan sebagainya.
“Hanya air minuman yang kami beli dan minta ahli keluarga hantar kerana kami tidak dapat bergerak ke sana ke mari ketika musim PKPD,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, bekalan air minuman yang dibeli hanya bertahan selama seminggu sebelum dia perlu menghubungi anaknya yang tinggal di kawasan tanah besar untuk menghantar bekalan.
“Walaupun keputusan ujian saringan keluarga saya negatif namun kami perlu patuhi arahan sehinggalah PKPD tamat tempoh 4 Jun depan,” katanya.
Sementara itu, penduduk Pulau Beluru, Rokiah Salleh, 45, berkata, sepanjang tempoh PKPD dia sekeluarga duduk di rumah dan tidak dapat keluar ke mana-mana.
“Setakat ini bekalan makanan termasuk beras, sardin, ikan kering dan barangan dapur dihantar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus ke rumah.
“Masalah air di kawasan ini tidak terlalu kerap bekalan Air Kelantan Sdn. Bhd.(AKSB) masih kami terima seperti biasa.
“Bagaimanapun rumah saudara saya di Teluk Renjuna kerap berdepan masalah air. Kami harap pihak berkuasa cari jalan membantu mereka,” katanya. – UTUSAN