Pendakwa rayu keputusan pembebasan Sabudin - Utusan Malaysia

Pendakwa rayu keputusan pembebasan Sabudin

SABUDIN MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang melepas dan membebaskan seorang bekas timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap tuduhan menerima wang RM150,000 daripada seorang pengarah syarikat, dua tahun lalu.

Notis rayuan terhadap pembebasan Sabudin Mohd. Salleh, 59, yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 13 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memberitahu pihak media, pendakwaan merayu keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Sabudin tanpa memanggilnya membela diri terhadap tuduhan yang dihadapinya.

Ujarnya, pendakwaan berpendapat Mahkamah Sesyen ketika membuat keputusan itu sepatutnya memanggil tertuduh mengemukakan keterangan bela diri.

Rayuan itu dikemukakan terhadap keputusan Hakim Suzana Hussin pada 8 April lalu yang membebaskan Sabudin selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendengar keterangan semua saksi dan meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta meneliti autoriti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Sabudin ketika itu didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya barang berharga iaitu wang tunai RM150,000 daripada Pengarah Tegap Elit Sdn. Bhd., Chia Chee Seng.

Wang itu sebagai dorongan melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya, iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan, yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini, antara 13 Ogos dan 19 Ogos 2018.

Sabudin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN