Pelajar lemas selepas selamatkan adik di Sungai Perak

Pelajar lemas selepas selamatkan adik

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari seorang pelajar, Muhammad Amirnur Hadi Ahmad Kamal yang hilang selepas menyelamatkan adiknya daripada dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Perak di Kampung Tebing Rebak, Hutan Melintang, Bagan Datuk, semalam. – FOTO/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seorang lelaki hilang dikhuatiri lemas selepas berjaya menyelamatkan adik­nya daripada dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Perak di Kampung Tebing Rebak, Hutan Melintang, di sini semalam.

Mangsa, Muhammad Amiurnur Hadi Ahmad Kamal, 21, pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi, Selangor belum ditemukan setakat ini selepas kejadian petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan.

Adiknya yang berjaya dise­lamatkan, Ahmad Nur Syarwani, 15, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan abang­nya bersama beberapa lagi rakannya sedang mandi.

Katanya, ketika sedang mandi, dia semakin ke tengah su­ngai akibat arus deras dan tidak dapat mencapai tangga untuk berpaut.

“Pada mulanya, abang sangka saya pura-pura lemas, namun, melihatkan keadaan saya yang semakin jauh dihanyutkan arus, abang saya terjun cuba menyelamatkan saya. Dia pegang tangan saya dan menyelam untuk menolak saya ke atas, barulah saya dapat bernafas.

“Untuk membolehkan dia pula bernafas, abang menolak saya ke atas, kami bergilir-gilir bernafas. Ketika itu saya hanya fikirkan mengenai abang saya, saya panggil dia ‘Uda, Uda’ dan dia dengar.

“Lama-kelamaan saya sudah tidak rasa lagi genggaman ta­ngan abang, dia tenggelam di­hanyutkan arus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, setelah dia berjaya naik ke tebing sungai, dia dibantu oleh penduduk yang menaiki bot untuk mencari abangnya.

“Ketika itu saya masih nampak tangan abang yang terkapai-kapai di dalam sungai namun akhirnya hilang,” katanya.

Menurutnya, abangnya berada di kampung kerana sedang bercuti daripada pengajiannya di Uniten dan tidak menunjukkan sebarang sikap pelik cuma semalam abangnya agak kurang bercakap.

“Saya tidak tahu bagaimana keadaan abang saya. Apa pun saya harap dia dijumpai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada pukul 5.30 petang berlaku ketika mang­sa bersama rakan-rakan dan adik lelakinya mandi di su­ngai berkenaan.

Katanya, adik mangsa berusia 15 tahun itu kemudiannya dihanyutkan arus dan mangsa cuba menyelamatkan dengan menolak remaja terbabit ke permukaan sungai.

“Sebuah bot penduduk kampung yang kebetulan lalu di situ telah membantu remaja tersebut, namun, mangsa telah tenggelam dihanyutkan arus deras. Usaha mencari dan menyelamat mangsa digerakkan bermula pukul 6 petang sema­lam dan disambung lagi hari ini,” katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.45 petang, semalam.

Katanya, operasi pencarian yang disambung hari ini diperluaskan merangkumi jarak pencarian sejauh tujuh kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat melibatkan 12 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya