KUANTAN: Pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijatuhi hukuman denda RM4,500 bagi tiga pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan yang keseluruhannya berjumlah RM8,000 untuk tidak mengambil tindakan ke atas kapal milik sebuah syarikat, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Rusdi Mohd. Joha, 47, yang berpangkat Bintara Kanan Maritim membuat pengakuan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 2 April 2020 hingga 11 November 2020, dengan pindahan wang daripada pemilik kapal, Wan Mohd. Fauzi Wan Kamaruddin melalui orang tengah secara dalam talian ke akaun milik tertuduh di Bank Simpanan Nasional (BSN) di Jalan Bank, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang, dekat sini.
Berdasarkan fakta kes, pada awal 2020, tertuduh membuat penggeledahan ke atas sebuah kapal dan meminta surat kebenaran berlabuh dan atas faktor kegagalan syarikat itu menyediakan dokumen, tertuduh membuat permintaan wang rasuah secara bulanan jika tidak mahu kapal tersebut dikenakan tindakan.
Dengan itu, terdapat transaksi yang dilakukan pada 8 Mei 2020 dan 10 Jun 2020 untuk melepaskan kapal-kapal milik syarikat tersebut daripada ditahan, diperiksa dan diambil tindakan penguatkuasaan.
Kesemua wang yang diterima didakwa habis dibelanjakan tertuduh untuk kegunaan harian.
Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Ketika prosiding dijalankan, Wan Shaharuddin memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara ke atas tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan secara ‘one off’ perlu diberikan peluang sekali gus percaya dengan denda dikenakan tertuduh menyesal atas perbuatannya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu kepada mahkamah bagi mengurangkan denda kerana mempunyai tanggungan seorang isteri tidak bekerja dan empat orang anak masih bersekolah serta tidak dikenakan hukuman penjara berikutan kesukaran mencari pekerjaan lain ketika ini.
Justeru, mahkamah memutuskan tertuduh dikenakan denda RM4,500 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda ditetapkan. – UTUSAN ONLINE