LUMUT: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung memohon peruntukan RM200,000 daripada kerajaan Perak bagi membantu penduduk mukim Sitiawan yang terjejas selepas dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai hari ini sehingga 11 Jun depan.
Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk penyediaan bakul makanan khususnya kepada mereka yang dikenakan perintah kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
“Setakat ini, kita hanya ada stok bekalan 100 bekalan makanan yang dijangka mencukupi untuk agihan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Sungai Wangi dekat sini hari ini.
Menurut Shamsul Ridzuan, PDT Manjung bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagihkan bantuan tersebut.
Beliau juga mengingatkan kepada mana-mana NGO dan individu bahawa mereka tidak dibenarkan menghantar sendiri bantuan kepada penduduk yang terjejas terjejas terutama yang disahkan positif Covid-19.
Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) pengagihan bantuan ketika pandemik Covid-19 ialah sebarang bantuan perlu diserahkan kepada JKM Manjung yang kemudian akan mengagihkannya kepada penduduk terjejas.
Shamsul Ridzuan berharap semua pihak mematuhi SOP ditetapkan kerana jumlah jangkitan Covid-19 di mukim Sitiawan didapati terus meningkat, malah mukim Lumut dan Lekir juga sudah diletakkan dalam zon merah. – UTUSAN ONLINE