KUALA LUMPUR: Penyampai radio terkenal, Kudsia Kahar, 51, berkongsi pengalaman kali pertama bekerja dalam situasi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang dua dekad kariernya .
Menurut Kudsia, sebelum ditatarias dengan solekan dan stail rambut, mereka mestilah lengkap memakai pelitup muka serta pelindung muka.
“Mungkin ada yang tertanya-tanya macam mana SOP dilaksanakan dalam sektor industri seni, budaya, hiburan dan kreatif ini.
“Macam inilah, 80 peratus muka sudah siap saya solek sendiri di rumah. Selebihnya, untuk touch up dan memakai bulu mata palsu pula sebagai sentuhan akhir akan dibuat di lokasi. Lebih 20 tahun bekerja, ini kali pertama.
“Untuk pengetahuan semua, saya dan krew termasuk sesiapa sahaja yang terbabit, mestilah mendapatkan ujian calitan terlebih dahulu sebelum masuk ke set penggambaran. Keputusan negatif mesti diberikan atau didedahkan, bukannya dekat lokasi,” ujarnya.
Dalam hantaran sama di akaun Instagramnya, Kudsia yang juga merupakan seorang pelakon berkata, jururias dan jurusolek sudah mendapatkan ujian calitan sebanyak enam kali dalam tempoh dua bulan atau lebih.
“Saya hargai bahawa keselamatan kita perlu dititikberatkan,” tegasnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat memuji dengan sikap bertanggungjawabnya itu.