IPOH: Kerajaan diminta memastikan rantaian bekalan sektor perikanan dapat terus beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun.
Setiausaha Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Azrilnizam Omar berkata, ia bagi memastikan kejadian nelayan pantai tidak dapat menjual hasil tangkapan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tidak berulang.
“Isu peraih enggan membeli hasil tangkapan dan masalah logistik seperti pengangkutan bagi hasil laut yang berlaku semasa PKP 1.0 perlu ditangani sebaiknya oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab.
“Justeru Jaring sekali lagi menggesa kerajaan agar menangani isu rantaian bekalan sektor perikanan ini dengan sebaiknya bagi memastikan kehidupan komuniti nelayan tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ia juga untuk memberi jaminan agar bekalan hasil laut negara tidak terganggu kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan serta kenaikan harga di pasaran.
“Jaring menyambut baik pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
“Namun Jaring meminta kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan agensi berkaitan perikanan iaitu Jabatan Perikanan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memastikan rantaian bekalan sektor perikanan dapat terus beroperasi dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN