GEORGETOWN: Selepas 10 hari ditutup ekoran terdapat kes positif Covid-19, Pasar Awam Jelutong kembali dibuka kepada orang awam mulai pukul 3 petang semalam.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi kebenaran kepada peniaga-peniaga di pasar berkenaan untuk beroperasi semula.
“Peniaga dan penjaja yang berniaga pada waktu petang dan malam dibenarkan untuk berniaga pukul 3 petang semalam.
“Bagi peniaga-peniaga barangan di pasar pagi, mereka dibenarkan berniaga hari ini pada pukul 6 pagi mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Pada 17 Mei lalu, MBPP menutup Pasar Awam Jelutong itu selepas empat peniaga di situ dikesan positif Covid-19.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar Yew Tung Seang berkata, penutupan itu dibuat serta-merta bagi menjaga keselamatan awam dan proses sanitasi akan segera dijalankan di pasar berkenaan.
Dalam pada itu kenyataan itu memaklumkan, Kompleks Makanan Batu Lanchang masih ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh KKM kelak.
“Persatuan-persatuan pasar diseru supaya memastikan kawalan pengunjung dan pematuhan SOP sentiasa dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung.
“Individu yang berisiko tinggi adalah dilarang untuk memasuki premis-premis pasar awam,” katanya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di dalam komuniti. – UTUSAN